Sunday, 20 March 2011

DOA PENGASIH YANG DIAJAR RASULULLAH S.A.W~

Seorang perempuan bernama Umaimah bt Sabieh, ibu kepada al-Mujtahid al-Hafiz Abu Hurairah al-Dausi al-Yamani,
ketua para penghafal hadis Nabi Muhammad Sallallahu A'laihi Wasallam yang cukup terkenal.



Imam al-Syafi'i pernah menyifatkan Abu Hurairah sebagai orang yang paling banyak menghafal hadis Nabi pada zamannya. Abu Hurairah memeluk Islam selepas datang ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah pada bulan Muharram 7 Hijrah.

Malangnya, Abu Hurairah begitu sedih kerana ibunya sendiri menentang Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Malahan ibunya juga telah mengatakan perkara yang buruk terhadap baginda Rasulullah. Perkara ini ternyata begitu menyusahkan Abu Hurairah hinggakan beliau menemui Nabi Muhammad, memohon doa Nabi, agar Allah memberikan ibunya hidayah. Beliau mengadu dengan katanya; "Wahai Nabi, saya menyeru ibu agar dia memeluk Islam, namun dia enggan. Malah dia memburukkan Islam! Mohonlah kepada Allah agar memberikan hidayah kepadanya."

Mendengar kesungguhan abu Hurairah dengan rayuannya itu, Nabi dengan sifat rahmat Baginda telah memohon dengan doa yang ma'thur, yang bermaksud;

"Ya Allah, Berikanlah hidayah Mu kepada ibu Abu Hurairah."



Seterusnya Abu Hurairah bercerita :

"Mendengar doa Nabi itu, aku keluar dari masjid menuju ke rumahku dalam keadaan bergembira dan yakin akan kemakbulannya. Sebaik sahaja aku sampai ke rumah, ibu mendengar ketukanku pada pintu rumah. Beliau menyuruhku agar menunggu di luar rumah.

Kedengaran dari luar rumah bunyi air mandian dicurahkan. Sebentar kemudian ibuku keluar mendapatkanku dalam keadaan bertudung kepala. Beliau berkata: "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya."

Mendengar persaksian itu, aku menjadi sangat gembira lalu aku bersegera pulang kepada baginda Rasulullah di masjid utuk memberitahunya tentang keislaman ibu. Mendengar perkembangan yang amat baik itu, Nabi Muhammad bertahmid memuji Allah. Walaupun ibuku sudah memeluk Islam, Aku masih lagi mengharapkan doa Nabi yang lain. Aku meminta kepada Baginda agar mendoakan kami menjadi manusia yang disayangi oleh orang lain. Nabi berdoa lagi dengan lafaz Baginda yang bermaksud:

"Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini dan ibunya dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman." (Riwayat Muslim)



Kesan daripada doa Nabi yang seterusnya ini, semua Mukmin yang mendengar namaku disebutkan akan menjadi gembira dan sayang kepadaku.'

Ibu kepada Abu Hurairah pula telah bertukar menjadi wanita solehah yang kerap mendahulukan Allah dan Islam, mengatasi tuntutan peribadinya.


Dalam sebuah riwayat daripada Hamid bin Malik, beliau berkata; "Pernah kami duduk bersama Abu Hurairah di Tanah miliknya di Aqiq, lalu datang segolongan manusia dari Madinah menaiki kenderaan masing-masing. Mereka datang meminta bantuan. Abu Hurairah berkata kepada mereka; 'Pergilah kamu wahai Hamid kepada ibuku dan katakan kepadanya aku mengucapkan salam kepadanya dan katakan juga agar memberi kita makan.' Beliau pergi ke rumah ibunya lalu melakukan suruhan Abu Hurairah itu."

"Ibunya lantas menyiapkan roti dengan minyak dan sedikit garam lalu meletakkan ke atas kepalaku, lalu aku membawa makanan itu kepada Abu Hurairah radiallahu 'anhu."

"Sebaik sahaja aku meletakkannya di hadapan Abu Hurairah, beliau berkata; 'Syukur kepada Allah yang telah memuliakan kami dengan makanan ini, sedangkan dahulunya kami hanya makan dua benda yang hitam (tamar dan air)."

Semoga Allah merahmati sahabat daripada keturunan Daus dan ibunya ini dan meredhai keduanya.

(Dipetik & Disesuaikan daripada hadis Riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad, no. 572, riwayat Muslim, no. 2491 dan Al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/11).


Sumber Artikel: Majalah Solusi (Isu No. 12, 2009).

No comments:

Post a Comment