Monday, 21 March 2011

ADUHAI~

Seorang tukang kayu yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan perumahan berhasrat untuk bersara lebih awal dari pekerjaannya. Dia menyampaikan keinginannya itu kepada majikannya, pemilik syarikat berkenaan. Apabila tidak bekerja, sudah tentulah dia akan kehilangan pendapatan bulanan. Tetapi, si tukang kayu itu sudah nekad untuk bersara. Dia sudah letih bekerja dan ingin berehat serta mahu menikmati sisa hari tuanya dengan penuh ketenangan dan kedamaian bersama anak dan isterinya. Si pemilik syarikat pula berasa sedih kerana kehilangan salah seorang pekerja terbaiknya. Dia meminta tukang kayu itu membuatkan sebuah rumah untuk dirinya, sebagai karya terakhir yang dapat diberikan kepada syarikat.



Tukang kayu itu pun bersetuju dengan permohonan peribadi yang diminta oleh majikannya. Tetapi, yang sebenarnya di hati kecil si tukang kayu itu menolak dan persetujuannya itu hanyalah semata-mata kerana terpaksa. Baginya, pemilik syarikat itu tidak mahu rugi dan mahu menggunakan khidmatnya hingga ke saat akhir. 

Hatinya tidak tertumpu kepada tugas yang dilakukannya dengan sepenuh hati. Dengan bahan yang sekadarnya, dengan hati yang tidak bersungguh-sungguh, dia pun memulakan tugas membina rumah. akhirnya, rumah itu siap terbina tetapi dengan hasil yang tidak begitu memuaskan. Dia mengakhiri kerjayanya dengan prestasi yang tidak maksima dan kurang membanggakan.

Ketika si pemilik syarikat datang untuk melihat rumah yang baru dibina itu, tukang kayu pun menyerahkan kunci rumah kepadanya. Pemilik syarikat itu mengucapkan terima kasih atas hasil kerja terakhir tukang kayu itu. 

Tetapi, ketika Pemilik syarikat bersalam dengan tukang kayu, dia mengatakan yang rumah itu sebenarnya adalah untuk si tukang kayu itu. 

"Ambillah, gunakanlah rumah ini untuk hari tuamu dan anggaplah rumah ini sebagai ungkapan terima kasih syarikat di atas dedikasi dan kesetiaan kamu pada syarikat selama ini." 

Demikian kata-kata pemilik syarikat sebagai ucapan perpisahan.



Betapa terkejutnya si tukang kayu. Dia berasa sangat malu dan menyesal ketika menerima kunci rumah yang baru dihasilkannya itu. Sekiranya dia tahu yang rumah itu adalah untuknya, sudah tentu dia akan membinanya dengan bersungguh-sungguh. Itulah kehidupan yang penuh misteri. Waktu yang merupakan aset terbesar kita kadang-kadang menjadi sia-sia sekiranya diakhiri dengan penyesalan. Padahal, dalam kehidupan ini, kita diibaratkan sedang membina rumah yang akan kita nikmati hasilnya, baik di hari tua mahupun sebagai monumen yang dapat dilihat dan dibaca oleh orang lain.




*************************************************


Sebenarnya, sikap pada kehidupanlah yang membuat kehidupan itu terasa pahit dan membosankan, sedangkan kehidupan itu berjalan bersesuaian dengan ritma alam yang mengaturnya sedemikian rupa. sikap ini pula yang membuat setiap individu menjalani kehidupan dengan sepenuh atau separuh hati. Apa yang difikirkan biasanya mempengaruhi bagaimana sikap kita pada apa yang kita fikirkan dan seterusnya mempengaruhi pekerjaan dan usaha kita. 


"Masa lalu adalah persoalan yang sudah mati dan kita tidak mungkin meraih momentum untuk menuju hari esok sekiranya kita menyeret masa lalu di belakang kita." 


(Jack Hayford)



Kita tidak tahu apakah akibat daripada tindakan yang kita lakukan ketika ini, kita hanya dapat mengagak dan meneka. Tetapi yang pasti hari ini adalah sebahagian waktu yang kita hadapi langkah demi langkah dan di situlah harta dan makna kehidupan yang kita lakukan.


"Perbezaan antara siapa anda hari ini dengan siapa anda lima tahun akan datang, dapat dilihat daripada buku-buku yang anda baca dan dengan siapa anda bergaul serta dengan siapa anda menghabiskan masa." 


(Charles Jones) 



Itulah sebabnya apapun yang dilakukan ketika ini, sama ada tugas, tanggungjawab yang diberikan serta jawatan yang disandang perlu dilaksanakan sebaiknya kerana apa yang disemai, itulah yang akan dituai. seperti yang biasa dikatakan oleh arkitek:


"Kehidupan adalah projek yang kita laksanakan sendiri. Pada akhir perjalan, kita terkejut melihat apa yang kita lakukan dan akan menemukan diri kita hidup di dalam rumah yang kita ciptakan sendiri."




Justeru fikir-fikirkanlah. apakah hidup yang kita semai di dunia ini akan berbaloi hasilnya untuk dituai di akhirat kelak? 


Sama-samalah kita renungkan.




Wallahu a'lam~





No comments:

Post a Comment